Kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan TuJu, aplikasi navigasi lebuh raya yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebagai alternatif kepada Waze. Bagi penjawat awam pula, penggunaan Waze kini dilarang berkuat kuasa serta-merta. Galakan kepada rakyat dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bil. 3/2026 pada 20 Oktober 2026. Kami ringkaskan apa yang anda perlu tahu.

Apa yang dinyatakan oleh kerajaan
Dalam hantaran rasminya, Perdana Menteri menyatakan mesyuarat itu turut meneliti risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze, yang disifatkan sebagai "terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel". Sehubungan itu, "penggunaan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), digalakkan sebagai alternatif."
Bagi orang awam, belum ada sekatan dan Waze masih boleh digunakan seperti biasa. Namun bagi penjawat awam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, telah mengeluarkan surat KSN bertarikh 20 Oktober 2026 yang melarang penggunaan Waze dalam kalangan anggota perkhidmatan awam, berkuat kuasa serta-merta. Larangan ini dibuat susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026, dan semua Ketua Setiausaha Kementerian serta Ketua Jabatan perlu memastikan arahan itu dimaklumkan kepada pegawai di bawah seliaan mereka. Pertanyaan berkaitan pelaksanaannya boleh diajukan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.
Pada 21 Oktober 2026, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan media yang menyokong larangan penggunaan Waze dalam kalangan seluruh penjawat awam. Dalam kenyataan yang sama, Perdana Menteri menyarankan seluruh rakyat Malaysia supaya turut berhenti menggunakan Waze dan beralih kepada aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu. Anda boleh membaca kenyataan tersebut dalam hantaran X Perdana Menteri serta soalan lazim rasmi di laman NACSA.
Terma penggunaan Waze sendiri menyatakan perkhidmatan itu disediakan oleh Waze Mobile Ltd., syarikat yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel dan beribu pejabat di Tel Aviv, manakala terma tersebut ditadbir oleh undang-undang Negara Israel.
Apa itu TuJu
TuJu dilancarkan oleh Kementerian Kerja Raya pada 26 November 2025. Ia dibangunkan oleh LLM bersama Prosignal Consortium Sdn. Bhd. dan memberi tumpuan kepada lebuh raya di Semenanjung Malaysia. App ini percuma di App Store dan Google Play.

Antara ciri utama yang dinyatakan oleh LLM dan KKR:
- Navigasi dan anggaran masa tiba
- Kiraan caj tol sebelum perjalanan
- Laporan trafik langsung daripada TMC LLM
- Kamera CCTV lebuh raya secara langsung
- Maklumat R&R, termasuk stesen minyak, pengecas EV dan tempat makan
- Bantuan kecemasan untuk kerosakan atau kemalangan di lebuh raya
- Pautan ke MyJalan untuk melaporkan kerosakan jalan
TuJu dan Waze: perbezaan utama
| Perkara | TuJu | Waze |
|---|---|---|
| Pembangun | LLM bersama Prosignal Consortium | Waze Mobile Ltd. |
| Tumpuan | Lebuh raya di Semenanjung Malaysia | Navigasi umum, termasuk jalan bandar |
| Ciri khas | Caj tol, CCTV lebuh raya, R&R, bantuan kecemasan LLM | Amaran kemalangan, kerja jalan dan polis, laporan pengguna |
| CarPlay | Tidak disebut dalam listing App Store | Disokong (listing App Store) |
| Data lokasi | Dikumpul dan dikaitkan dengan identiti (label privasi App Store) | Dikumpul dan dikaitkan dengan identiti, termasuk untuk pengiklanan pihak ketiga (label privasi App Store) |
Maklumat listing dan label privasi App Store Malaysia setakat 21 Oktober 2026.
Label privasi ini disediakan oleh pembangun app masing-masing di App Store. Kedua-dua app memerlukan akses lokasi untuk berfungsi sebagai app navigasi, jadi perbezaannya lebih kepada siapa yang memproses data dan untuk tujuan apa.
Perlu tukar sekarang?
Bagi perjalanan jauh di lebuh raya, contohnya balik kampung, ciri caj tol, CCTV dan R&R dalam TuJu memang berguna dan boleh dicuba bersama app sedia ada. Untuk perjalanan harian dalam bandar, tumpuan TuJu ialah lebuh raya, jadi anda boleh mencubanya dahulu sebelum membuat keputusan. Kami akan mengemas kini artikel ini jika ada garis panduan atau kenyataan rasmi baharu daripada kerajaan, LLM atau Waze.
Imej: TuJu, hantaran X Perdana Menteri Anwar Ibrahim, App Store
Adakah anda akan mencuba TuJu untuk perjalanan lebuh raya anda yang seterusnya?