Ultimate magazine theme for WordPress.

Larangan Waze untuk Penjawat Awam Kini Termasuk Urusan Peribadi

0

Jika anda seorang penjawat awam yang masih membuka Waze untuk pulang ke kampung pada hujung minggu, ada perubahan penting yang perlu anda tahu. Soalan lazim (FAQ) mengenai larangan Waze di laman rasmi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) telah dikemas kini, dan skop larangan untuk penjawat awam kini lebih luas. Persoalannya, apa sebenarnya yang berubah?

Jawapan soalan 2 dalam FAQ larangan Waze di laman NACSA
Imej: tangkap skrin laman NACSA

Apa yang berubah

Sebelum ini, FAQ tersebut menyatakan larangan Waze terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi sahaja. Versi terkini kini menyatakan bahawa larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze terpakai kepada semua penjawat awam pada setiap masa, sama ada semasa menjalankan tugas rasmi mahupun bagi urusan peribadi (tidak rasmi), termasuk di luar waktu bekerja.

Maksudnya, perjalanan peribadi seperti menghantar anak ke sekolah, pulang ke kampung atau keluar makan pada hujung minggu juga termasuk dalam larangan ini bagi penjawat awam.

Larangan ini berpunca daripada Surat Arahan Ketua Setiausaha Negara bertarikh 20 Oktober 2026, susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Perlu diingat, ringkasan di bahagian atas halaman FAQ yang sama masih menyebut larangan berkuat kuasa semasa menjalankan urusan rasmi Kerajaan. Namun, jawapan terperinci bagi soalan 2 dan 3 kini jelas merangkumi urusan peribadi dan luar waktu bekerja.

Siapa yang dimaksudkan dengan penjawat awam

FAQ yang sama merujuk takrif anggota perkhidmatan awam di bawah Fasal (1) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan, iaitu:

  • angkatan tentera
  • perkhidmatan kehakiman dan perundangan
  • perkhidmatan awam am Persekutuan
  • pasukan polis
  • perkhidmatan awam bersama yang disebut dalam Perkara 133
  • perkhidmatan awam setiap Negeri
  • perkhidmatan pendidikan

Ini bermakna guru, anggota polis dan tentera serta kakitangan kerajaan negeri juga termasuk dalam larangan ini.

Disarankan nyahpasang Waze

FAQ terkini turut menyarankan penjawat awam untuk menyahpasang (uninstall) Waze daripada peranti masing-masing dan beralih kepada aplikasi navigasi alternatif yang bersesuaian. Menurut FAQ itu, langkah ini bertujuan mengurangkan risiko pengumpulan data lokasi dan pergerakan pengguna, termasuk di luar waktu bekerja.

Jawapan soalan 3 dalam FAQ larangan Waze di laman NACSA
Imej: tangkap skrin laman NACSA

Aplikasi navigasi alternatif yang disenaraikan

Penjawat awam boleh menggunakan aplikasi navigasi lain selain Waze, selagi aplikasi tersebut tidak tertakluk kepada undang-undang atau bidang kuasa perundangan Israel. Sebelum ini, FAQ hanya menyebut TuJu dan PINTAZ. Senarai terkini kini lebih panjang:

JenisAplikasi
TempatanTuJu (Lembaga Lebuhraya Malaysia), PINTAZ
AntarabangsaGoogle Maps (Amerika Syarikat), Apple Maps (Amerika Syarikat), HERE WeGo (Belanda), Sygic (Slovakia), Petal Maps (Huawei)

FAQ itu juga mengingatkan bahawa penggunaan aplikasi alternatif perlu mengambil kira aspek keselamatan, perlindungan data pengguna serta bidang kuasa perundangan yang berkaitan.

Jawapan soalan 11 dalam FAQ larangan Waze di laman NACSA
Imej: tangkap skrin laman NACSA

Kenapa Waze dilarang

Menurut FAQ tersebut, keputusan ini mengambil kira keselamatan dan perlindungan data pengguna kerana Waze mengumpul pelbagai maklumat termasuk data lokasi, pergerakan, perjalanan dan maklumat peranti. Terma Penggunaan Waze juga menetapkan undang-undang negara Israel dan bidang kuasa mahkamah di daerah Tel Aviv bagi sebarang pertikaian. FAQ itu turut menyatakan tiada bukti bahawa Waze menjalankan analisis sedemikian terhadap penggunanya, namun kemungkinan data terdedah kepada analisis tetap dianggap satu risiko.

Ketua Eksekutif NACSA, Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin, ketika ditemui selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media pada 24 Oktober 2026, berkata: “Dalam konteks ini, penggunaan Waze oleh penjawat awam tidak dibenarkan buat masa ini berikutan aspek perundangan yang menetapkan perkhidmatan itu tertakluk kepada undang-undang Israel.”

Bagaimana dengan orang awam?

FAQ ini hanya terpakai kepada anggota perkhidmatan awam. Bagi orang awam, belum ada sekatan dan Waze masih boleh digunakan seperti biasa.

Sumber: Soalan lazim larangan penggunaan Waze, NACSA · Surat Arahan Ketua Setiausaha Negara, NACSA · Kenyataan Ketua Eksekutif NACSA, Berita RTM

Adakah anda atau ahli keluarga yang bertugas sebagai penjawat awam sudah beralih ke aplikasi navigasi lain?

Leave A Reply

Your email address will not be published.